Tuesday, October 5, 2010

Mungkin.

Sudah lama benar rasanya aku tidak menjenguk kemari. Malam ini, hati aku terdetik untuk menulis, perkara yang rasanya sudah lama aku tidak praktikkan. Ah..intro macam gampang.

Sepanjang saat aku tiada disini, aku sebenarnya tertanya-tanya kepada diri aku sendiri

"aku memblog kerana apa?"

"aku menulis kerana apa?"

Yang penting, aku bukanlah mencari nama disini. Suatu ketika dahulu, aku adalah seorang lelaki yang marah. Ketidakpuasan hati aku selalunya meliputi perkara yang sangat banyak, mungkin kerana itu aku salurkan rasa marah aku dengan menulis.

Mengenangkan hal itu, aku teringat, abdullahjones pernah mengatakan bahawa seorang bloger adalah bukan seorang bloger jika tidak memaki hamun. Rasanya ada benar disitu. Bila aku perhatikan kembali, entri-entri aku yang lama mengandungi banyak sekali unsur-unsur tidak puas hati dan amarah. Amat jarang sekali aku menulis sesuatu yang menggembirakan.

Dan benarlah juga kata pjoe, blog ini adalah seumpama taman permainan. Sementara kita adalah kanak-kanak, kita bebas untuk memilih setiap jenis permainan yang ada disitu, samada jongkang-jongket, gelungsur ataupun istana pasir. Dan aku memilih jenis permainan yang sesuai dengan kehendak aku.

Jadi sekarang, kerana apa aku tidak menulis? mungkin kerana aku tidak lagi memaki hamun? oh tidak, perkara yang bacul masih tidak terlepas dari maki hamun aku. Atau aku sudah terjumpa permainan baru? itu aku tidak pasti, aku sendiri tiada jawapan untuk itu.

Yang aku pasti, aku sudah tiada minat untuk menulis. Aku tiada berahi untuk menaip segala ketidakpuasan hati aku disini lagi, mungkin aku bukanlah seorang lelaki berjiwa penulis.

Jadi mulai dari sekarang, blog ini mungkin akan berubah wajah.

'mungkin'

.